PUSAT AKSES SEKOLAH
Selaras dengan arus perkembangan teknologi maklumat di negara ini, kerajaan berhasrat membestarikan semua sekolah di seluruh negara melalui program Pembestarian Sekolah. Pelaksanaan Pusat Akses Sekolah merupakan satu dari pelbagai inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan infrastruktur ICT yang mencukupi bagi menjayakan pembestarian sekolah. Pada masa ini ramai pelajar dilihat amat berminat dan cenderung dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kecenderungan ini harus dipupuk dengan penyediaan kemudahan dan akses kepada pengisian ICT agar selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang mahir dalam bidang ICT bagi menghadapi persaingan di peringkat global.
Pusat Akses Sekolah berfungsi sebagai pemangkin pembudayaan ICT di sekolah. Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan murid membuat pembelajaran secara kendiri dan mempelbagaikan gaya pembelajaran mereka. Penggunaan Pusat Akses Sekolah yang berkesan diharapkan meningkatkan kemahiran ICT murid untuk tujuan pembelajaran. |